
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Kerajaan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan untuk mengeluarkan amaran kepada pelancong yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan sebelum ini telah dimaklumkan mengenai penyalahgunaan PLS oleh segelintir pelancong untuk bekerja atau berniaga di negara ini.
“Maka, Jemaah Menteri memberi peringatan tegas dan juga amaran bahawa pemegang PLS tidak dibenarkan untuk bekerja atau berniaga di Malaysia.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil sekiranya undang-undang berkaitan penggunaan PLS ini telah didapati dilanggar,” katanya pada Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Kerajaan MADANI itu juga turut mengumumkan Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 yang sedang berlangsung sejak 4 Nov hingga esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bakal dijadikan acara tahunan.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyatakan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) dan juga pasukan di atas pengajuran Festival of Ideas yang berjaya menyaksikan penyertaan termasuk daripada Setiausaha Agung ASEAN, dari Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi rantau Asia Tenggara dan pelbagai pihak dari sektor swasta juga.
“Dan FOI telah diputuskan untuk dijadikan acara tahunan dalam kalendar tahunan dan akan bertempat di Putrajaya pada setiap tahun, insya-Allah. Jadi, ini satu pencapaian yang sangat baik dan amat dihargai oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri,” katanya.
Terdahulu, Zambry berkata FOI bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab dinamik dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan di mana inovasi serta etika bersatu untuk memberi manfaat kepada manusia.
Bertemakan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea”, FOI memandang Putrajaya sebagai sebuah bandar idea serta menjadi medan pertemuan bagi dasar, falsafah dan inovasi.
-RI





