Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Keunikan Rumah Godang Seri Pilah, Mercu Warisan Negeri Sembilan

By 10 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharil Alias/Khairul Othman(IPN)

KUALA PILAH, 10 Nov (MalaysiAktif) – Program Olek Godang 2.0 sekali lagi menampilkan Keunikan Rumah Godang di Kampung Seri Pilah sebagai mercu tanda warisan Negeri Sembilan.

Acara tersebut bertujuan memartabatkan khazanah Adat perpatih selain menghidupkan semula nostalgia tradisi yang menjadi teras masyarakat Minangkabau tempatan.

Pengunjung merasai pengalaman Makan Berjambar.

Kemuncak acara diserikan dengan upacara Makan Berjambar besar-besaran iaitu tradisi makan bersama-sama yang melambangkan semangat kebersamaan dan rendah diri para tetamu yang duduk bersila mengelilingi dulang hidangan tanpa mengira latar belakang.

Bagi pengunjung dari luar daerah, pengalaman tersebut dianggap istimewa dan sukar diperoleh di kawasan bandar.

“Suasana di sini amat istimewa. Makan berjambar bukan sekadar mengisi perut, tetapi menyatukan hati. Ini pengalaman berharga untuk keluarga saya memahami budaya kita yang unik,” kata Azman Harun, 45, dari Shah Alam.

Penganjur program, Komuniti Malaysia Pemurah (Benevolent Malaysia), menyifatkan sambutan hangat program berkenaan sebagai bukti jelas bahawa masyarakat masih kurang tahu akan pendedahan terhadap warisan asal bangsa.

“Kehadiran yang ramai membuktikan bahawa budaya tidak pernah lapuk, malah semakin dicari apabila kita semakin jauh daripadanya. Rumah Godang akan terus menjadi hab pendidikan warisan dan keraian budaya,” kata jurucakap organisasi itu.

Pengunjung bergambar di hadapan Rumah Godang Seri Pilah.

Suasana keraian turut diserikan dengan persembahan Caklempong yang memukau, bukan sahaja menghiburkan pengunjung malah menjadi wadah pendidikan tidak formal kepada generasi muda mengenai seni warisan Negeri Sembilan.

Selain itu, permainan rakyat seperti gasing, congkak dan dam aji turut mendapat sambutan hangat, khususnya daripada kanak-kanak yang teruja mencuba permainan tradisi yang menguji ketangkasan fizikal berbanding hiburan digital.

Kejayaan penganjuran program itu sekali lagi mengukuhkan peranan Rumah Godang Seri Pilah sebagai pusat pelancongan sosiobudaya yang penting di Negeri Sembilan yang menawarkan pengalaman holistik merangkumi rasa, bunyi dan semangat kebersamaan yang menjadi nadi budaya tempatan.

-RI

Tinggalkan komen anda