Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kopi ‘Horas’ Simbol Selamat, Jadi Tradisi Mandailing

By 10 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Ucapan ‘Horas’ yang sering disebut oleh masyarakat Mandailing membawa makna ‘selamat’, melambangkan semangat mesra dan doa kesejahteraan dalam setiap pertemuan.

Menurut Penyelaras Inap Desa Bougainvillea Kampung Sungai Kertas, Ruslan Ahmad ucapan itu bukan sekadar sapaan biasa tetapi mencerminkan nilai budaya dan keikhlasan masyarakat Mandailing dalam kehidupan seharian.

Rombongan MOTAC Negeri Melaka ke Inap Desa Bougainvillea Kampung Sungai Kertas disajikan hidangan Kopi ‘Horas’.

“Kalau orang Mandailing jumpa, mesti ucap ‘Horas!’ maksudnya selamat.

“Jadi, bila kita dengar Kopi Horas, maknanya kopi selamat, selamat diminum, selamat kenyang, selamat terang mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Melaka yang turut disertai Pengarahnya, Muhammad Bukhari Che Man.

Tambahnya, semangat itu turut diterjemahkan dalam minuman tradisi mereka, Kopi Horas, yang menjadi kebanggaan komuniti Mandailing.

Kini, walaupun pelbagai jenama kopi moden muncul di pasaran, nilai dan makna di sebalik ‘Horas’ tetap dikekalkan sebagai simbol budaya serta identiti masyarakat Mandailing yang diwarisi turun-temurun.

Ruslan turut menjelaskan bahawa Inap Desa Bougenvillea bukan sekadar tempat penginapan, tetapi juga ruang untuk memperkenalkan warisan masyarakat Mandailing kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

(Berdiri) Ruslan sedang menerangkan budaya masyarakat Mandailing kepada rombongan MOTAC Negeri Melaka.

Inap Desa Bougainvillea kini menjadi antara tarikan komuniti di Kampung Sungai Kertas yang aktif mempromosikan warisan dan budaya etnik Mandailing sebagai sebahagian daripada identiti pelancongan budaya di Selangor.

“Kita nak pelawat yang datang bukan sekadar menginap, tapi merasai sendiri budaya Mandailing, daripada makanan, kopi tradisi, sampai ke cara hidup.

“Itulah keunikan yang kita bawa,” katanya.

Melalui usaha sedemikian, budaya Mandailing berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai daya tarikan pelancongan warisan, bukan sahaja memperkukuh identiti tempatan tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat di Gombak.

-RI

Tinggalkan komen anda