Skip to main content
Sabah

LADA Anjur Hargai Media Zon Utara

By 15 November 2025Februari 9th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)

KOTA KINABALU, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 10 pengamal media dari Zon Utara dibawa menyertai family trip (perjalanan keluarga) anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ke Sabah dari 13 hingga 17 November ini sebagai penghargaan kepada media yang sentiasa menyokong usaha mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Program tersebut menghimpunkan wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Kedah, Pejabat Penerangan Daerah Langkawi, Berita Harian serta pegawai Unit Komunikasi Korporat LADA bertujuan bagi mengukuhkan hubungan strategik melalui pendekatan santai, kekeluargaan dan pengalaman di lapangan.

Pengamal-pengamal media bergambar kenangan kakitangan Unit Khidmat Korporat LADA.

Hari ini, peserta turut menghadiri taklimat khas oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang memberi pendedahan mengenai strategi pelancongan Sabah, produk pelancongan baharu serta potensi kerjasama promosi antara Sabah dan Langkawi.

Taklimat tersebut sekali gus membuka ruang perkongsian pengetahuan dan idea bagi memperkukuh ekosistem pelancongan antara kedua-dua destinasi.

Menurut Pengurus Unit Khidmat Korporat LADA Lina Azlina Zali, program itu bukan sahaja sebagai penghargaan kepada media tetapi turut berfungsi sebagai platform meningkatkan kerjasama strategik.

“Media merupakan rakan penting dalam mempromosikan Langkawi. Melalui program seperti ini, kita dapat memperkukuh hubungan, memahami keperluan liputan media dan pada masa sama membuka peluang kerjasama baharu dalam sektor pelancongan,” katanya semasa sesi taklimat di STB, di sini semalam.

Sepanjang lima hari program, peserta dibawa melawat Kundasang, Desa Dairy Castle Farm, Pekan Nabalu dan beberapa lokasi pelancongan sekitar Kota Kinabalu.

Aktiviti berbentuk riadah, eksplorasi dan interaksi komuniti turut diatur bagi mengeratkan hubungan antara LADA dan media.

LADA menegaskan komitmen untuk terus menghargai jasa pengamal media, selain berusaha memperkukuh jaringan promosi secara berterusan demi pembangunan dan kelestarian industri pelancongan Langkawi.

-RI

Tinggalkan komen anda