
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Unit Media MDKP
KUALA PILAH, 3 Nov (MalaysiaaAktif) – Lebih 400 peserta telah memeriahkan Kuala Pilah Cycling Fest – Moh Kayuh Pilah 2.0 Jamboree meliputi laluan sejauh 35 kilometer yang cukup mencabar.

Pemenang bersama tetamu kehormat.
Peserta dibahagikan kepada 13 kategori dengan tumpuan utama kepada Kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita.
Menariknya, acara kayuhan kali ini turut disertai oleh peserta pelbagai kaum dan peringkat usia, termasuk peserta antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Belanda.
Bertemakan ‘Moh Kayuh Pilah’, para peserta menempuh laluan mencabar yang menguji kekuatan mental dan fizikal termasuk jalan berbukit, laluan berlecak serta berlumpur di kawasan sawah, selain selekoh tajam dan denai berliku yang turut memperlihatkan keindahan alam semula jadi serta warisan sejarah kebanggaan daerah ini.

Nicole menyampaikan ucapan perasmian.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata program itu bukan sekadar aktiviti kayuhan atau riadah semata-mata, sebaliknya membawa mesej lebih besar dalam memupuk semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkenalkan keindahan dan pesona Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan menarik di negeri ini.
“Saya berharap penganjuran ini dapat mengangkat Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan sukan selain Adat Perpatih bagi Tahun Melawat Malaysia dan Negeri Sembilan 2026,” katanya di sini pada Sabtu.
-RI





