
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 1 Nov (MalaysiaAktif) – Masyarakat diajak untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan program yang ditawarkan oleh ‘Wellness Hub’ Labuan.
Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh berkata orang ramai boleh menjalani pemeriksaan kesihatan, menyertai aktiviti fizikal dan mengikuti pakej runding cara sihat menerusi program berkenaan.

Antara aktiviti kecergasan menanti para pengunjung.
“Jadikan ‘Wellness Hub’ sebagai pusat rujukan utama kesejahteraan komuniti, tempat kita berkongsi ilmu, membina jaringan sokongan sosial, dan memupuk semangat kesukarelawanan dalam bidang kesihatan.
“’Wellness Hub’ berperanan penting dalam mengubah paradigma masyarakat daripada hanya merawat penyakit, kepada mencegah dan mengekalkan kesihatan melalui perubahan tingkah laku yang berterusan,” katanya semasa merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025, di sini pagi tadi.
Jelasnya, terdapat 13 pakej perkhidmatan yang sediakan ‘Wellness Hub’ meliputi tujuh perkhidmatan teras dan enam teras sokongan.

Antara pempamer yang menjayakan Hari Terbuka ‘Wellness Hub’ Wilayah Persekutuan Labuan
“Pakej perkhidmatan ini adalah antara usaha memperkasa komuniti dari segi kemahiran kesihatan kendiri bagi mengurangkan faktor risiko penyakit dengan cara mengalakkan masyarakat mengenal pasti status kesihatan diri dan mendapatkan intervensi awal.
“Ia juga membina budaya hidup sihat secara berterusan sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat Malaysia MADANI yang sihat, produktif serta sejahtera,” jelasnya.
Pada program itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya ‘Wellness Explorace Remaja’, Pertandingan Diy Fun ‘N’ Fit Family, Larian Pantai 5km, pameran dan pemeriksaan kesihatan.
-RI





