
Laporan/foto: Nur Syafiq Kamaruzzaman (Rembau)
REMBAU, 18 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Rembau (MDR) melaksanakan Operasi Bersepadu Penangkapan Anjing Terbiar bagi menangani aduan anjing terbiar yang semakin meningkat serta memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat.
Operasi diketuai Yang Dipertua MDR Mohd Zamri Mohd Esa bersama Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan MDR, semalam itu menggunakan kaedah pelalian, pemasangan mikrocip, penandaan serta pemandulan anjing jantan sejurus selepas proses penangkapan bagi memastikan kawalan populasi anjing terbiar dilakukan secara beretika dan sistematik.

Petugas operasi bersama sukarelawan melakukan proses pemeriksaan, pemandulan dan rawatan awal terhadap anjing terbiar selepas berjaya ditangkap.
“Operasi ini bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi satu usaha berterusan untuk menjaga kesejahteraan komuniti dan kebajikan haiwan. MDR komited memastikan Rembau kekal sebagai daerah yang selamat, harmoni dan berperikemanusiaan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Setiausaha MDR Norazlyzan Ramli berkata kerjasama antara agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti adalah kunci kejayaan operasi berkenaan.
“Kami amat menghargai sokongan semua pihak yang membantu menjayakannya dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” katanya.

Pasukan operasi sedang memastikan kebajikan anjing terbiar yang berjaya ditangkap dengan memantau keadaan mereka di dalam kawasan perlindungan khas.
Dr. Norman Affendi dari Norman Vet iaitu syarikat yang dilantik oleh MDR sebagai pelaksana rasmi operasi tersebut berkata pendekatan yang digunakan itu mematuhi standard kebajikan antarabangsa.
“Kami bangga dapat bekerjasama dengan MDR dalam memastikan populasi anjing terbiar dikawal secara beretika tanpa mengabaikan hak haiwan,” katanya.
MDR berharap kerjasama berterusan antara semua pihak akan terus membantu mengurangkan konflik antara orang awam dan anjing terbiar serta memperkukuh kesejahteraan komuniti.
-RI





