Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pelan Induk Baharu Perkukuh Budaya Kerja Selamat dan Sihat di Malaysia

By 7 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Memi Yusoff/ Mohd Ariff Ishak (Selangor)

KLANG, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memperkenalkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30) bagi memperkukuh budaya kerja selamat dan sihat di seluruh negara selaras dengan perubahan landskap pekerjaan masa hadapan.

Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA ketika menyampaikan ucapan perasmian Simposium Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021–2025 (OSHMP25)

Pelan kesinambungan kepada OSHMP25 yang bakal berakhir pada 2025 itu akan memberi tumpuan kepada enam teras strategik utama berasaskan pendigitalan, daya tahan serta kelestarian sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Sutekno Ahmad Belon berkata pelan lima tahun itu akan menjadi pemacu utama kepada pembangunan sistem kerja yang lebih selamat, mampan dan berdaya saing.

“Pelan ini dibangunkan berasaskan tiga teras utama iaitu memperkasa tadbir urus KKP, meningkatkan keupayaan serta kapasiti sumber manusia dan mengarusperdanakan KKP dalam setiap sektor serta lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Simposium Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021–2025 (OSHMP25) di sini, semalam.

Beliau berkata sepanjang tempoh pelaksanaan OSHMP25, pelbagai kejayaan telah dicapai termasuk peningkatan kesedaran dan pengukuhan budaya KKP di tempat kerja hasil pelbagai inisiatif berimpak tinggi bersama rakan strategik.

Malaysia turut memperkukuh reputasi di peringkat antarabangsa melalui ratifikasi Konvensyen ILO C.155 pada 11 Jun 2024, yang mencerminkan komitmen negara terhadap piawaian global dalam memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat.

Lawatan ke reruai pameran

Pelaksanaan OSHMP25 juga menyerlahkan ekosistem inklusif berteraskan nilai KKP Inklusif, Kebersamaan dan Komitmen melalui pelbagai aktiviti advokasi, latihan serta penglibatan aktif sektor tidak formal dan pekerja sewaan.

Simposium anjuran KESUMA melalui JKKP itu turut menjadi platform bagi menonjolkan pencapaian tujuh teras strategik OSHMP25 serta membuka ruang perkongsian kepakaran antara kerajaan, industri dan institusi akademik.

Ketua Pengarah JKKP Mohd Hatta Zakaria berkata simposium tersebut juga diadakan bagi menghargai sumbangan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam kejayaan pelan induk berkenaan.

“Hari ini kita berkumpul bagi meraikan kejayaan bersama serta menghargai rakan-rakan strategik yang telah membantu menjayakan pelaksanaan OSHMP25,” katanya.

Program tersebut dihadiri kira-kira 200 peserta dengan lebih 20 pameran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut diadakan sepanjang simposium berlangsung.

-AA-

Tinggalkan komen anda