
Laporan/foto: Hasnida Sarani/Sharil Alias (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 7 Nov (MalaysiAktif) – Publisiti dan penyertaan awam penting dalam memastikan pembangunan negeri yang inklusif, mampan dan seimbang.

Ucapan perasmian oleh Arul Kumar.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan Arul Kumar Jambunathan berkata perkara itu boleh dicapai menerusi pendekatan mengambil kira pandangan rakyat dalam menjayakan sesuatu agenda.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Tinjauan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (RSN2040), di sini semalam.
“RSN2040 menjadi dokumen induk perancangan spatial negeri, meliputi lima teras utama pembangunan selaras aspirasi Malaysia MADANI, dengan tumpuan terhadap ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus pintar menjelang 2040,” katanya.
Penganjuran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Tinjauan Kajian Semula RSN2040 oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia) Negeri Sembilan bertujuan memuktamadkan hala tuju pembangunan negeri hingga tahun 2040.
-RI





