
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)
BACHOK, 28 Nov (MalaysiaAktif) – Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan kepentingan respons pantas, penyelarasan atur gerak yang teratur serta kerjasama antara agensi penyelamat bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjaga.

Mohd Yusoff menyampaikan amanat berkenaan isu-isu semasa yang terkait dengan pelajar sekolah.
“Dalam situasi banjir, setiap saat sangat penting. Kita perlu bertindak cepat, teratur dan saling menyokong antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) supaya segala operasi penyelamatan dan pengurusan mangsa berjalan lancar,” katanya.
Mohd Yusoff berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tangok, di sini semalam bagi meninjau kebajikan keluarga yang dipindahkan serta melihat pelaksanaan operasi pengurusan pusat berkenaan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dan berinteraksi bersama petugas serta keluarga yang ditempatkan di PPS.

Mohd Yusoff menyampaikan sumbangan daripada PDRM.
Pengerusi i-Sejahtera Malaysia Datuk Mohammad Hamizan Amzah turut menyerahkan sumbangan seekor lembu untuk dimasak dan dijamu kepada mangsa banjir sebagai inisiatif menjaga kebajikan mereka sepanjang tempoh pemindahan.
Turut hadir Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin, pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, ketua jabatan dan agensi daerah.
-RI





