Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Petugas Mangsa Banjir Perlu Sentiasa Beredia

By 28 November 2025November 30th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Amirul Faisal Rastan (Gua Musang)

GUA MUSANG, 28 Nov (MalaysiaAktif) – Petugas mangsa banjir dinasihatkan agar sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan yang bakal berlaku.

Menurut Ketua Jajahan Daerah Gua Musang Mohd Roshdi Ismail semua petugas perlu sentiasa bersiaga sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), selain memperkukuh kerjasama komunikasi antara agensi bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan bilangan mangsa.

Mohd Roshdi ketika menyantuni mangsa banjir di PPS.

“Kerajaan sentiasa komited menjaga kebajikan rakyat dan amat menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti membantu mangsa banjir,” katanya di sini kelmarin.

Mohd Roshdi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah meluangkan masa meninjau keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Limau Kasturi bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjamin berikutan hujan lebat berterusan.

Dalam lawatan tersebut, beliau diberi taklimat mengenai status terkini jumlah mangsa dipindahkan, keperluan asas yang diperlukan serta koordinasi bantuan oleh agensi terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mohd Roshdi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir

Seorang mangsa banjir, Noraini Zakaria, 42, berkata beliau bersyukur kerana bantuan pantas  diterimanya.

“Kami panik bila air naik secara mendadak pagi tadi disebabkan hujan lebat. Mujur pasukan penyelamat tiba awal dan membawa kami ke sini. Alhamdulillah, di PPS ini kami dapat makanan, tempat tidur dan rawatan asas serta berharap cuaca cepat pulih,” katanya.

Beliau turut memuji petugas PPS yang sentiasa membantu dan memastikan semua mangsa, terutama warga emas dan kanak-kanak, berada dalam keadaan selamat.

-RI

Tinggalkan komen anda