Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pulau Songsong Lestari CEPA Perkukuh Kesedaran Alam Sekitar 2025

By 29 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus (Yan)

YAN, 29 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Yan (MDY) menganjurkan Program Pulau Songsong Ecotalk & Clean Up Beach 2025 bagi memperkukuh kesedaran alam sekitar melalui pendekatan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam atau Communication, Education and Public Awareness (CEPA).

Sebahagian pokok yang telah ditanam oleh para peserta.

Program yang diadakan di Pulau Songsong, di sini kelmarin disertai seramai 70 peserta daripada pelbagai agensi, institusi pendidikan dan komuniti tempatan.

Wakil Yang Dipertua Majlis Daerah Yan Amir Ezzat Ismail, berkata penganjuran program dengan kerjasama Koperasi Kampung KEDA Kuala Sungai Udang bertujuan mengukuhkan jaringan kolaborasi antara agensi dan masyarakat setempat.

“Penglibatan pelbagai pihak menunjukkan sokongan padu masyarakat dalam menjayakan usaha kelestarian,” katanya.

Program disertai wakil daripada Hospital Yan, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, Pejabat Daerah dan Tanah Yan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Universiti Sains MAlaysia (USM), Universitas Marang Indonesia, Persatuan Jurupandu Jerai Geopark (JAGA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan serta pejabat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak dan Sungai Limau, menekankan komitmen rentas agensi dalam menjayakan usaha pemuliharaan pulau.

Wakil YDP Majlis Daerah Yan, En. Amir Ezzat Ismail (kiri) mengambil peluang menanam pokok sambil melihat keindahan di Pulau Songsong.

Antara aktiviti utama ialah pembersihan pantai, menumpukan kepada pengumpulan sisa plastik dan sampah laut, serta Program Penanaman Pokok bagi menyokong aspirasi Inisiatif 2 Juta Pokok Setahun yang bertujuan meningkatkan litupan hijau serta memulihara biodiversiti Pulau Songsong.

Secara keseluruhannya, program ini membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat mampu memberi impak jangka panjang dalam menjaga kelestarian pulau serta memacu agenda pemuliharaan alam sekitar secara berterusan.

-RI

Tinggalkan komen anda