
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)/Warta Kedah
ALOR SETAR, 24 Nov (MalaysiaAktif) – Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk berganding bahu menangani isu penagihan dadah yang terus menjadi ancaman sosial dan keselamatan negara.

Berangkat tiba Raja Muda Kedah ke Perasmian Seminar Menangani Gejala Dadah dan Apresiasi Ke AADK 2025.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Seminar Menangani Gejala Dadah dan Apresiasi Kepulihan AADK 2025 yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, semalam.
Menurut Baginda, Kedah kekal sebagai antara empat negeri tertinggi kadar penagihan dadah bagi tempoh Januari hingga September 2025, dan keadaan itu memerlukan tindakan kolektif yang lebih menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat.
Baginda menegaskan bahawa penagihan dadah membawa kesan besar bukan sahaja kepada individu, malah institusi keluarga, keselamatan komuniti dan pembentukan sahsiah generasi muda.
“Antara kesan yang sering dilihat adalah keruntuhan rumah tangga, kecurian, pecah rumah dan pelbagai kebimbangan ketenteraman awam lain,” titah Baginda.

Raja Muda bergambar bersama Ketua-ketua Jabatan dan tetamu yang hadir.
Baginda turut menarik perhatian mengenai trend peningkatan penyalahgunaan dadah sintetik serta fakta bahawa majoriti penagih baharu terdiri daripada golongan berumur 18 hingga 39 tahun, sekali gus memberi implikasi langsung terhadap masa depan negara.
Dalam pada itu, Baginda menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Kedah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memperluaskan pelaksanaan Program ALteR@Komuniti ke seluruh negeri tahun ini, melibatkan 21 mukim rintis selepas kejayaan projek perintis di Mukim Naga, Kubang Pasu pada 2024.
Baginda bertitah bahawa kejayaan usaha pemulihan dan pencegahan dadah hanya dapat dicapai melalui komitmen bersama komuniti, kepimpinan tempatan, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membentuk negeri bebas dadah dan selamat untuk semua.
-RI





