
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)
BACHOK, 24 Nov (MalaysiaAktif) – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meninjau situasi banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pauh 9 bagi melihat sendiri keadaan mangsa dan tahap kesiapsiagaan agensi terlibat dalam menguruskan bencana di Bachok.
Ketibaan Fadhlina disambut oleh Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff yang membentangkan taklimat menyeluruh mengenai situasi semasa banjir, termasuk jumlah mangsa, kawasan terjejas serta perkembangan paras air.

Menyantuni mangsa-mangsa banjir yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.
Fadhlina turut mendapatkan maklum balas daripada Ketua-Ketua Jabatan Daerah Bachok berhubung tindakan yang telah dilaksanakan, merangkumi aspek bantuan, pendidikan, keselamatan dan pengurusan di PPS.
Dalam sesi tersebut, beliau meminta agar semua bentuk bantuan disalurkan secara teratur dan menyeluruh. Beliau turut menekankan keperluan memastikan kualiti serta kebersihan makanan di PPS dipantau dengan rapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya minta JKM memastikan makanan yang disediakan di PPS adalah benar-benar bersih dan dikendalikan dengan baik bagi mengelakkan sebarang risiko keracunan atau penyakit bawaan makanan,” ujar.
Selain itu, beliau menasihati Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar memantau keadaan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir.

Ketua Jabatan dan petugas-petugas PPS yang hadir.
“Sekiranya ada calon SPM yang terjejas akibat banjir, saya amat menggalakkan mereka untuk ditempatkan di asrama sekolah. Ini bagi memastikan pergerakan mereka ke pusat peperiksaan lebih mudah dan persediaan mereka tidak terganggu,” katanya, di sini semalam.
Selesai sesi taklimat, Fadhlina meluangkan masa menyampaikan bakul makanan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut. Beliau turut beramah mesra serta memberikan kata-kata semangat kepada PPD, para guru, ketua jabatan, petugas, sukarelawan dan semua pihak yang terlibat.
Lawatan ini menunjukkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan bencana yang memerlukan tindakan pantas dan kerjasama menyeluruh.
-RI





