
Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Rakyat di negeri Pahang berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atau lebih mesra dipanggil Tok Wan.
Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang Nasrul Isyam Abdul Hamid berkata banyak kemajuan dan pembangunan yang dikecapi sepanjang tampuk pemimpinan Menteri Besar Pahang itu sejak mula memegang jawatan berkenaan pada 2018.

Kupasan isu yang ringkas namun padat mengenai pelbagai topik antaranya kemajuan yang telah dicapai oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Rakyat negeri Pahang sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin yang cakna dan mendahulukan rakyat. Pada masa sama beliau mentadbir kerajaan negeri dengan efisien dan efektif,” katanya ketika ditemui selepas Townhall Bersama MB Pahang, di sini kelmarin.
Tambahnya lagi corak kepimpinan ditunjukkan Wan Rosdy membuktikan beliau bukan seorang pemimpin yang hanya bercakap kosong.
“Kalau kita tengok bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri mencakupi semua golongan dari bayi hinggalah ke warga emas.
“Ini jelas menunjukkan kecaknaan pemimpin di negeri ini untuk membantu rakyat dan memajukan negeri Pahang,” katanya.

Sebahagian rakyat Pahang yang hadir ke Townhall Bersama MB Pahang.
Dianggarkan lebih 1,500 pengunjung hadir ke sesi Townhall Bersama Menteri Besar Pahang yang turut menampilkan pelakon Azhar Sulaiman selaku moderator.
Pelbagai topik dibincangkan dan antara yang menjadi perhatian adalah pencapaian kerajaan negeri Pahang, pembangunan negeri, ekonomi, kebajikan rakyat, pendidikan dan Belanjawan Negeri 2026.
Turut hadir Speaker Dewan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Nazri Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
-RI






