Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Sultan Pahang Rasmikan Pusat Hemodialisis YASA ke-6 di Bukit Jalil

By 7 November 2025November 8th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhaimin Musa/Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri

KUALA LUMPUR, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Bukit Jalil, di sini.

Pusat hemodialisis tersebut yang merupakan cawangan keenam YASA, dibangunkan sebagai kesinambungan Inisiatif Teras Kesihatan YASA bagi memastikan rakyat, khususnya golongan B40 dan asnaf mendapat akses kepada rawatan dialisis yang percuma, berkualiti dan selesa.

Sultan Pahang mencemar duli melihat mesin hemodialisis.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Subahan Kamal serta Pengurus Besar YASA Mohd Fakhrul Islam Juhali.

Penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Bukit Jalil merupakan hasil kerjasama strategik antara YASA dan MAIWP yang merupakan penyumbang utama bangunan dan fasiliti.

PERKESO turut menyumbang 10 unit mesin dialisis kepada rangkaian Pusat Hemodialisis YASA berkenaan.

Pada majlis sama, Baginda turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara YASA dan PERKESO yang bertujuan memperluas kerjasama strategik dalam memperkukuh skim bantuan kesihatan dan kebajikan sosial secara menyeluruh, melibatkan pelbagai inisiatif kesihatan komuniti dan sokongan sosial.

Sultan Pahang mencemar duli beramah mesra bersama pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis.

Skop kerjasama merangkumi program saringan kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD), perkhidmatan pemulihan dan sokongan psikososial kepada pencarum PERKESO yang hilang upaya bekerja, serta rujukan dan bantuan akses rawatan di rangkaian Pusat Hemodialisis YASA.

Baginda turut berkenan meninjau kemudahan rawatan di pusat tersebut dan menyantuni para pesakit, sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Talhah bin Ubaidillah, Bukit Jalil.

-RI

Tinggalkan komen anda