
Laporan/foto: Kartina Saruni/Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 2,057 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir akan menerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) fasa kedua seperti yang diumumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Oktober lalu.

Edaran bantuan BKJ disampaikan oleh ADUN Gambir Sahrihan Jani di Dewan Muafakat Bandar Baru Bukit Gambir, Tangkak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir Sahrihan Jani berkata hasrat kerajaan negeri adalah memastikan setiap peruntukan disalurkan semula kepada rakyat melalui program bantuan yang dirangka.
“Dengan bantuan ini, diharapkan rakyat Johor akan lebih gembira dan ekonomi negeri dapat dipacu dengan lebih baik pada masa akan datang. Ia sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan tersebut di Dewan Muafakat Bandar Baru Bukit Gambir, di sini semalam.

Sebahagian penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) 2.0 DUN Gambir daripada kategori YPKDT dan JKM.
Menurut beliau, pengagihan bantuan bagi DUN Gambir berlangsung mulai hari ini sehingga Sabtu ini.
Turut hadir Pegawai Kebajikan Daerah Tangkak Erliyani Abdul Haq, Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Daerah Tangkak Nur Amila Md Amil, Pegawai Perhubungan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor Afiqa Ali, Penolong Pegawai Veterinar Tangkak Azzudin Tukikim dan Yang Dipertua Persatuan Ketua Kampung Tangkak Ramli Abd Rahman.
-RI





