
Laporan/Foto: Nyempal Inggang (Sarawak)
LUBOK ANTU, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Di pedalaman daerah Lubok Antu, tersembunyi sebuah lokasi alam semula jadi yang kian mendapat perhatian pengunjung iaitu Air Terjun Wong Enseluai.
Kejernihan airnya, keindahan landskap hutan serta suasana damai yang masih terpelihara menjadikan destinasi ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu bagi komuniti Rumah Panjang Nanga Sumpa.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kawasan itu semakin menjadi pilihan, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung tempatan malah turut menarik pelancong luar negara.
Fenomena tersebut turut dipacu oleh perkongsian pengguna media sosial yang memuat naik gambar serta video keindahan Wong Enseluai sehingga mencetuskan rasa ingin tahu orang ramai.

Mercu tanda Rumah Panjang Nanga Sumpa yang menjadi identiti komuniti setempat.
Bagi pemilik Ulu Ai Homestay, Dugat Anak Jaraw, Wong Enseluai mempunyai potensi besar untuk menjadi ikon ekopelancongan Lubok Antu.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri menjadikan sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi setempat seiring dengan minat masyarakat luar terhadap keindahan alam semula jadi kawasan pedalaman.
Dengan jangkaan lebih ramai pengunjung akan tiba menjelang pertengahan cuti hujung tahun, Air Terjun Wong Enseluai dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi rekreasi semula jadi yang bukan sahaja berpotensi diketengahkan di peringkat negeri, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

Dugat melihat Air Terjun Wong Enseluai sebagai destinasi yang berpotensi menjadi ikon ekopelancongan Lubok Antu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Sumpa, Jalang Anak Muntai berkata komuniti setempat melihat potensi besar air terjun berkenaan untuk dijadikan tarikan pelancongan.
Namun, beliau menegaskan bahawa pemeliharaan alam sekitar tetap menjadi keutamaan dalam apa jua perancangan.
“Kami melihat peningkatan ketara kedatangan pengunjung sejak beberapa bulan lalu. Justeru, perancangan awal sedang dibuat bagi menambah baik aspek keselamatan serta kemudahan asas seperti pondok rehat, laluan bertanda dan tempat pembuangan sampah,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Beliau turut menekankan keperluan pembangunan secara terkawal bagi mengelakkan kerosakan ekologi seperti hakisan tanah, pencemaran air dan pembuangan sampah oleh pelawat yang semakin meningkat.
-RJ-





