
Laporan/ foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/ Perpustakaan Desa PNM Negeri Sembilan
PORT DICKSON, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Trend pembacaan masyarakat di Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan yang positif dengan majoriti rakyat terus mengekalkan minat terhadap aktiviti membaca sebagai sumber ilmu dan pembentukan sahsiah.

Persembahan peserta Pertandingan Bercerita Buku Kegemaran Saya oleh Nur Safiyya Najmuddin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sri Tanjung Dr. Rajasekaran Gunnasekaran berkata kerajaan sentiasa percaya bahawa bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membaca dan pelbagai dasar serta program telah digerakkan bagi memastikan masyarakat rakyat tidak ketinggalan dalam era yang menuntut ilmu dan kemahiran baharu setiap hari.
“Antara usaha tersebut termasuklah penambahbaikan rangkaian perpustakaan awam, pelaksanaan program digital literasi, penghasilan bahan bacaan berkualiti, serta kempen galakan membaca di sekolah, universiti dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Sentuhan Komuniti Bestari (SKB) Perpustakaan Desa Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Sembilan di Perpustakaan Desa Taman Intan Perdana, di sini, Sabtu lalu.

Antara aktiviti bersama keluarga yang turut dijalankan
Beliau berkata program seperti SKB jelas membuktikan dasar kerajaan dalam menyantuni rakyat melalui wahana ilmu dan pengukuhan komuniti bukan sekadar gagasan di atas kertas, tetapi mampu diterjemahkan dengan penuh berkesan apabila seluruh lapisan masyarakat berganding bahu, bersatu hati dan berkongsi tekad demi kemajuan bersama.
Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya Fun Walk, Pertandingan Memasak dan Mewarna Keluarga, pertandingan bersama komuniti serta pameran jabatan.
-AA-





