Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ewon Yakin SOGIP Mampu Menyumbang Agenda Sabah First

By 14 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Setiausaha Akhbar Kementerian

SIPITANG, 14 Dis (MalaysiaAktif) – Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) mampu menjadi pemacu utama kepada agenda Sabah First, khususnya dalam menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ewon Benedick berkata Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) telah memberikan sepenuh komitmen menetapkan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kawasan SOGIP untuk pelaburan yang telah mendapat kelulusan.

“Saya amat yakin SOGIP bukan sahaja akan menyumbang hasil kepada kerajaan negeri, malah menyediakan peluang pekerjaan yang sangat besar kepada rakyat Sabah, khususnya graduan tempatan dan penduduk di daerah Sipitang.

“Saya juga berharap pasukan Sabah First di SOGDC terus diperkasakan demi memastikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh serta pulangan mampan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Ewon ketika bercakap dengan pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama perwakilan tertinggi SODGC di Taman Perindustrian SOGIP.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke pejabat SOGDC di SOGIP, di sini pada Sabtu.

Beliau mengadakan lawatan kerja ke SOGIP bagi meninjau perkembangan taman perindustrian gas dan minyak yang diuruskan oleh SOGDC, sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.

Merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon yakin beberapa lagi pelaburan yang telah diluluskan akan memulakan projek masing-masing di SOGIP pada awal tahun hadapan.

“Ini sekali gus akan mengukuhkan kedudukan SOGIP sebagai hab industri strategik negeri. Saya percaya SOGDC akan terus menyumbang kepada pembangunan rakyat Sabah yang berpendapatan melalui pelaburan dan perusahaan berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan di SOGIP.

“Saya turut berkongsi wawasan serta hala tuju kementerian dan berharap pasukan Sabah First di SOGDC terus diperkasakan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada semua pemegang taruh, termasuk merealisasikan unjuran pembayaran dividen kepada kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan upacara ringkas pecah tanah bagi pembangunan Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual oleh E-Concern Borneo melibatkan pelaburan keseluruhan sekitar RM1.1 bilion yang dilaksanakan secara berfasa merangkumi empat fasa.

Beliau kemudiannya melawat dan meninjau pelaksanaan pelaburan Esteel Sabah di SOGIP yang melibatkan nilai pelaburan keseluruhan sekitar RM31 bilion menjadikannya antara pelaburan industri terbesar ketika ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda