Skip to main content
Berita TempatanSabah

Filem Ninavau: Diangkat Dari Kisah Sebenar, Dalami Makna Toleransi

By 10 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Dexter Cysonned (Penampang)

PENAMPANG, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Diangkat daripada kisah hidup yang sebenar, filem tempatan Ninavau menceritakan detik perjalanan seorang individu mencari makna kehidupan disebalik cabaran ikatan kekeluargaan dan perbezaan kepercayaan agama.

Poster Filem Ninavau.

Pengarah filem, Bebbra Mailin berkata idea awal filem yang memaparkan elemen kekeluargaan itu diadaptasi menerusi kisah hidup seorang rakan karibnya ketika mereka masih remaja.

Tambahnya, sebagai seorang yang bergelar mualaf, beliau mahu menyemai perasaan kasih dan sayang di setiap bait-bait kata yang diungkapkan serta memberi makna mendalam erti toleransi menerusi filem berkenaan.

“Idea asalnya datang daripada pengalaman kawan baik saya semasa zaman remaja. Saya juga sekarang adalah seorang mualaf dan sebenarnya itu satu perjalanan yang tidak mudah.

“Cerita ini menekankan pentingnya penerimaan dan toleransi dalam keluarga serta masyarakat, sekali gus memberi inspirasi kepada penonton untuk menghargai ikatan kekeluargaan,” katanya ketika ditemu bual secara langsung dalam program iNSPO anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Sekitar suasana program iNSPO Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Menariknya, 90 peratus penggambaran filem dilakukan di Sabah dan melibatkan pelakon tempatan sekali gus mendekatkan lagi mesej yang ingin disampaikan dengan masyarakat di negeri ini.

“Saya berharap filem Ninavau ini mampu memberi inspirasi serta membuka ruang perbincangan tentang apakah makna toleransi dan penerimaan dalam masyarakat, terutamanya di Sabah,” katanya.

Filem yang menampilkan pelakon tempatan anak kelahiran Sabah Jovenea Jim (Ninavau), Edward Sinsong (Edward) dan Tati Eliana Tonny (Elvira) ini mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula pada 4 Disember lepas.

-RJ-

Tinggalkan komen anda