Skip to main content
Berita TempatanSabah

Eggie Bomb Tampilkan Kelainan Dalam Sajian Snek Moden

By 10 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Noorsiah Mahmud (Penampang)

PENAMPANG, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Eggie Bomb, sebuah perniagaan tempatan yang menawarkan snek moden, kini menjadi tumpuan pengunjung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang Mall dengan konsep unik berasaskan adunan gaya Hong Kong yang disesuaikan mengikut cita rasa tempatan.

Menurut pemilik kedai, Thomson Loh, 28, idea untuk menghasilkan Eggie Bomb muncul selepas mengikuti trend makanan viral dari China dan beberapa negara lain di media sosial.

Thomson ketika ditemui dikedainya di ITCC Mall Penampang.

“Pada mulanya saya cuba pelbagai jenis makanan seperti nasi kambing dan menu Jepun, tetapi tidak berjaya. Selepas melihat trend snek viral, saya mencuba sendiri beberapa resepi selama dua hingga tiga bulan. Keluarga dan rakan-rakan memberi maklum balas positif, jadi saya teruskan dengan membuka Eggie Bomb,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini pada Isnin.

Thomson menegaskan bahawa penggunaan bahan asli menjadi keutamaan dalam setiap hidangan dan asas penyediaan Eggie Bomb adalah resepi buatan sendiri dengan perisa tempatan seperti durian, yogurt, dan pandan yang akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Saya menggunakan susu penuh krim, susu cair dan bahan asli tanpa pewarna tiruan. Contohnya, perisa durian memang dari durian sebenar.”

Tambahnya, konsep kedai yang menawarkan snek ringan pada harga mesra pelajar turut menjadi faktor tarikan utama.

Eggie bomb berinti pandan.

“Menu asas bermula daripada RM6.90, dengan pelanggan boleh menambah sos atau menaik taraf kepada kombo minuman dengan tambahan RM3 sahaja. Special Bomb antara menu popular yang menampilkan inti pelbagai perisa seperti coklat, keju mozarela dan kacang tanah. Setakat ini, terdapat tujuh jenis inti termasuk lima perisa asas, dengan rancangan menambah sehingga 18 hingga 20 pilihan pada masa hadapan,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda