
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 16 Dis (MalaysiaAktif) – Niat murni seorang guru membantu muridnya mendapat markah dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) menerusi program kewangan syarikat perbankan mendapat perhatian Maybank Foundation apabila terpilih antara pendidik terbaik mewakili Malaysia ke Jakarta pada 10 Disember lalu.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Klang, dekat sini, Siti Zuraidah Salehudin, 42, terpilih sebagai Penerima Anugerah Guru Terbaik Malaysia selepas penglibatannya dalam Program Cashville Kidz anjuran Maybank Foundation dan Money Tree Asia Pasifik, sekali gus mewakili Malaysia bersama pendidik terbaik dari Kemboja, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Siti Zuraidah (kiri) menyampaikan hadiah kuiz kepada salah seorang murid ketika Program Cashville Kidz anjuran Maybank Foundation dan Money Tree Asia Pasifik di SK Rantau Panjang Ogos lalu.
Menurut Siti Zuraidah penglibatannya dalam program yang dilaksanakan pada Ogos lalu bermula dengan hasrat untuk memberi nilai tambah kepada pembelajaran murid, khususnya membantu mereka memperoleh markah PAJSK menerusi program di Peringkat Kebangsaan.
“Program ini amat bermanfaat untuk murid-murid bagi memberi pendedahan awal tentang ilmu kewangan dan pada masa sama menyokong keperluan PAJSK,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif, semalam.
Beliau berkata Program Cashville Kidz sangat memberi impak kepada murid kerana pendekatannya yang interaktif melalui animasi, perbincangan berkumpulan, aktiviti trivia serta penggunaan aplikasi Dumo.
“Saya teruja melihat murid-murid seronok belajar tentang konsep menabung, lebih membanggakan apabila mereka mula mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya yang telah 20 tahun berkhidmat di sekolah berkenaan.
“Sejujurnya saya sangat terharu dan bersyukur, rasa macam mimpi dapat menjejakkan kaki ke Jakarta. Kejayaan ini bukanlah kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan semua guru dan murid yang terlibat,” katanya.
Tambahnya, pendidikan kewangan perlu diterapkan seawal usia kerana ia membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan kanak-kanak.
-RI





