
Laporan/foto: Khairul Othman/MARA (Negeri Sembilan)
TAMPIN, 16 Dis (MalaysiAktif) – Penganjuran Program Pemerkasaan Usahawan Wanita MARA 2025 membuktikan komitmen berterusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkasa golongan wanita, khususnya di peringkat akar umbi agar dapat melibatkan diri secara aktif dan mampan dalam bidang keusahawanan.

Ucapan perasmian penutup oleh Dr. Asyraf.
Pengerusi MARA Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif itu turut menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi latihan, bimbingan serta akses kepada ekosistem keusahawanan yang komprehensif.
“Usaha ini selari dengan aspirasi #MerakyatkanMARA, memastikan segala kemudahan dan peluang yang disediakan benar-benar sampai dan dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya wanita luar bandar,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Perdana, di sini kelmarin.
Asyraf turut menegaskan bahawa wanita yang diperkasa mampu menjadi pemacu ekonomi setempat serta agen perubahan kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Penyerahan bantuan persekolahan kepada pelajar B40.
Program ke-93 di seluruh negara bagi tahun 2025 itu adalah penutup tirai pelaksanaannya tahun ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, ADUN Gemencheh Suhaimizan Bizar dan ADUN Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.
-RI





