
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 17 Dis (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendaftaran pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini yang kini masih belum mencapai sasaran 70 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin berkata setakat ini kadar pendaftaran pelajar dalam bidang STEM di Johor menghampiri 60 peratus dan kerajaan negeri menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus bagi mencapai sasaran tersebut pada tahun hadapan.

Aznan bersama warga akademia negeri Johor semasa majlis pelancaran Program Ayuh Johor Akademia 2025, di sini semalam.
“Pelbagai inisiatif telah digerakkan di peringkat daerah bagi menggalakkan minat pelajar terhadap bidang STEM agar Johor mampu melahirkan lebih ramai tenaga profesional seperti doktor dan jurutera pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Ayuh Johor Akademia 2025 di sebuah hotel, di sini semalam.
Dalam perkembangan berasingan, Aznan berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap isu penyalahgunaan media sosial dalam kalangan pelajar berusia 16 tahun ke bawah yang didapati memberi kesan negatif terhadap perkembangan golongan tersebut.

Kerajaan Negeri Johor mensasarkan peningkatan daripada 60 peratus kepada 70 peratus kadar pendaftaran pelajar dalam bidang STEM di negeri ini pada tahun hadapan.
Menurutnya, kerajaan negeri menyokong langkah pengendali platform pesanan internet dan media sosial untuk dianggap berdaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan penggunaan platform tersebut lebih terkawal.
“Golongan pengguna media sosial di bawah umur ini terlalu bebas berbicara di platform sedia ada. Kita bukan mahu menyekat, sebaliknya mahu mewujudkan pendaftaran supaya ada panduan dan hala tuju yang jelas, termasuk mengenal pasti penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Beliau menegaskan langkah itu penting bagi membanteras penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mencetuskan pelbagai perkara tidak diingini dalam masyarakat.
-RI





