
Laporan/ foto: Affifa Aroff/ Ahmad Faisal (Perak Tengah)
SERI ISKANDAR, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Lebih 2,000 penduduk hadir memeriahkan Program Kenduri Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota Bersama Menteri Besar Perak yang berlangsung di Perkarangan Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar Perak (DUN Bota), Changkat Sodang, di sini semalam.

Datuk Seri Saarani beramah mesra bersama pasukan gotong-royong yang sedang masak juadah
Program yang bermula seawal jam 11 pagi itu bukan sahaja menjadi medan perhimpunan malah platform berkesan untuk menyemarakkan nilai perpaduan dalam komuniti.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata kepentingan untuk mengimbangi peranan teknologi dengan hubungan manusia sebenar.
Beliau mengingatkan bahawa alat komunikasi moden seperti telefon pintar, boleh menjadi penghalang interaksi jika tidak digunakan secara bijaksana.
“Komunikasi terbaik adalah melalui pertemuan bersemuka. Bila kita bertentang mata, barulah wujud kefahaman dan keikhlasan. Dari mata turun ke hati,” katanya.

Antara tetamu kehormat dan masyarakat setempat yang hadir memeriahkan Program Kenduri Rakyat
Beliau turut mengajak masyarakat agar menjauhi sikap memburukkan orang lain, sebaliknya menggalakkan perbaiki diri demi memelihara keharmonian dalam komuniti.
Antara acara yang menarik adalah aktiviti gotong-royong yang melibatkan penduduk setempat seperti melapah lembu dan memasak hidangan kenduri secara beramai-ramai.
Penganjuran program ini menghidupkan kembali tradisi lama serta semangat kejiranan yang menjadi identiti masyarakat luar bandar, di mana para sukarelawan dan penduduk berganding tenaga menyediakan juadah sebelum diagihkan kepada pengunjung.
-AA-





