
Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani
REMBAU, 24 Dis (MalaysiaAktif) – Kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan pemimpin komuniti penting bagi membentuk pasukan akar umbi yang berdaya saing dan berkesan.

Penyampaian cenderahati dari Pegawai Perpaduan Daerah kepada Pengarah Jabatan Perpaduan Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata semangat kekitaan dalam kalangan pemimpin akar umbi pula perlu sentiasa diperkasakan bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara.
“Justeru, Bengkel Kepimpinan Komuniti Erat dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah Rembau 2025 ini misalnya menjadi medium penting memperkukuh kesepakatan dan kerjasama pemimpin komuniti tempatan dalam membina pasukan akar umbi yang mantap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Rembau, di sini kelmarin.
Turut hadir Pengarah JPNIN Negeri Sembilan Marlina Termudi dan Pegawai Perpaduan Daerah Rembau Mariawaty Mohd Din.
Bengkel tersebut bertujuan memperkukuh kepimpinan akar umbi, meningkatkan tadbir urus komuniti serta memperluas jaringan kerjasama antara KRT, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

Penyampaian Anugerah Kecemerlangan KRT Daerah Rembau 2025 sebagai penghargaan atas komitmen memperkukuh perpaduan komuniti setempat.
Majlis Apresiasi Kecemerlangan KRT pula diadakan bagi menghargai Ahli Jawatankuasa KRT, sukarelawan serta penduduk yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan aktiviti komuniti sepanjang tahun.
Pengiktirafan tersebut diharapkan dapat meningkatkan motivasi Ahli Jawatankuasa KRT serta NGO untuk terus memperkasa usaha perpaduan di peringkat komuniti.
Program ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Guru dan Penolong Guru Tabika Perpaduan Daerah Rembau serta penghargaan khas kepada Sharom Mohd Yusof dan Noor Hafidah Hussien atas sumbangan cemerlang mereka.
-RI





