
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Dis (MalaysiaAktif) – Kedudukan strategik Sabah yang bersempadanan dengan Kalimantan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Sarawak menjadikan negeri ini antara hub penting dalam perkembangan ekonomi di kepulauan Borneo.
Selain memiliki sistem pelabuhan yang eksklusif, Sabah turut giat membangunkan ekonomi domestik melalui pemerkasaan pelaburan, kolaborasi bekalan tenaga serta pengembangan eksport industri makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Dr. Firdausi Suffian berkata sudah tiba masanya kerajaan Malaysia, khususnya Sabah, menggerakkan daya ekonomi ke arah Dasar Pandang ke Timur Malaysia bagi mengoptimumkan prestasi ekonomi domestik di kepulauan Borneo.

Dr. Firdausi semasa bersiaran langsung untuk Program Influencer@JAPEN Sabah di ibu pejabat Invest Sabah Berhad.
“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Borneo bagi tempoh tiga tahun dianggarkan sekitar USD150 bilion dengan kadar pertumbuhan antara tiga hingga 3.5 peratus selepas pasca COVID-19. Borneo juga menempatkan Ibu Kota Nusantara (IKN), Brunei dan Sarawak. Jika kita melihat aspek pelaburan di negara jiran, Sabah sebenarnya memiliki pelbagai kelebihan dan berpotensi menjadi ‘Mutiara Ekonomi’ serta hub penting di rantau ini.
“Dalam sektor makanan, belanjawan negara telah menyentuh mengenai zon pembangunan makanan dan Sabah berpotensi menjadi pengeksport utama khususnya kepada Brunei. Dari sudut tenaga pula kolaborasi dengan Sarawak telah pun dilaksanakan melalui import tenaga elektrik.
“Sabah dengan lapan buah pelabuhan strategik berhampiran Laut China Selatan yang menyumbang hampir 30 peratus ekonomi marin dunia ibarat permata yang masih perlu digilap. Penglibatan Invest Sabah secara tidak langsung turut membantu merancakkan pembangunan ini,” katanya ketika menjadi panel pada Program Influencer@JAPEN Sabah, di sini pada Selasa.
Tambah Firdausi, polisi ‘Prosper-thy-neighbour’ atau memakmurkan jiran perlu dijadikan antara pemacu utama bagi menggerakkan kitaran ekonomi domestik dengan penglibatan aktif penggiat industri tempatan.
“Kita perlu memberi fokus kepada kekuatan dalaman dan juga hubungan dengan negeri serta negara jiran. Konsep ‘Prosper-thy-neighbour’ membawa maksud bahawa apabila jiran kita makmur kita juga akan menerima manfaat. Hubungan bilateral yang kukuh akan mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih inklusif di peringkat serantau dan bukan sekadar di peringkat negeri.
“Apabila situasi ini berlaku rantaian ekonomi di Borneo dijangka menjadi lebih kukuh dan seterusnya menghasilkan limpahan ekonomi yang positif sama ada dari segi keusahawanan, pelaburan mahupun sektor-sektor ekonomi lain,” ujarnya.
-RJ-





