Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kemudahan Sukan Kampung Sungai Lui Kini Berwajah Baharu

By 24 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Mohd Yuszairee Mohd Yunus (Hulu Langat)

HULU LANGAT, 24 Dis (MalaysiaAktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui program Kampung Angkat MADANI (KAM) telah mengubah Kampung Sungai Lui, di sini sebagai sebuah hab sukan dan komuniti yang moden, tersusun dan berdaya saing.

Kementerian Belia dan Sukan membina gelanggang 5 dalam 1 yang memberi banyak manfaat khususnya golongan belia yang melakukan aktiviti riadah dan sukan.

Ketua Kampung Sungai Lui Mohd Rahman Kamso berkata pelaksanaan projek berkenaan adalah satu lonjakan besar buat kemudahan dan prasarana di kampung tersebut.

“Kami amat bersyukur kerana satu demi satu kemudahan dinaik taraf. Gelanggang serba guna kini diberi nafas baharu manakala jalan raya serta tempat letak kereta masjid telah diturap rapi untuk keselesaan jemaah.

“Malah, gelanggang silat berbumbung dan dewan serba guna turut dibaik pulih bagi kegunaan pelbagai aktiviti penduduk,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Beliau berkata aspek keselamatan sukan turut diberi keutamaan melalui penyelenggaraan gelanggang futsal dan bola jaring, sekali gus mewujudkan persekitaran riadah yang lebih kondusif dan selamat buat anak muda.

Transformasi di Kampung Sungai Lui bagaimanapun tidak terhad kepada pembangunan fizikal semata-mata, apabila KBS turut menyuntik elemen pembangunan insan yang agresif bagi memastikan golongan belia tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

Pelajar-pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong melaksanakan aktiviti menyelenggara penghawa dingin di Masjid Ar Rahman Sungai Lui.

“Pelbagai inisiatif berimpak tinggi seperti program keusahawanan, latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti kesukarelawanan serta klinik sukan dijalankan secara berkala. Inisiatif ini dilihat berjaya membuka ruang buat anak muda tempatan mengasah bakat dan potensi diri untuk menyumbang kembali kepada komuniti,” katanya.

Bagi penduduk Norshamirah Abdullah, 28, impak KAM memberi keyakinan tinggi buat penduduk untuk terus maju.

“Kami kini lebih optimis. Kampung Sungai Lui mampu melangkah jauh sebagai komuniti yang progresif dan mapan. Inilah pembangunan yang kami harapkan seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda