
Laporan/ foto: Mohd Zahid Othman/ EG’s Travelogue (Johor)
KUALA LUMPUR, 29 Dis (MalaysiaAktif) – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengumumkan penamatan operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas – JB Sentral – Gemas berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Penamatan itu diputuskan selepas sembilan tahun perkhidmatan berkenaan beroperasi bagi memberi laluan kepada penyelarasan dan pengoptimuman operasi di jajaran selatan selaras kemasukan fasa baharu infrastruktur rel negara.
Ketua Pegawai Teknikal (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata langkah tersebut juga diambil sebagai sebahagian daripada persediaan pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru.
“Langkah ini bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berfokus kepada pengalaman perjalanan penumpang yang lebih berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi memperkukuh jaringan pengangkutan di wilayah berkenaan, KTMB bakal memulakan pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) sehingga ke JB Sentral dengan kekerapan lapan perkhidmatan sehari bermula pada tarikh yang sama.
“Walau bagaimanapun, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa untuk memenuhi keperluan penumpang dari sektor selatan ke Pantai Timur.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan Shuttle Timuran sebagai alternatif perjalanan secara henti-henti bagi laluan Gemas ke Tumpat,” katanya.
-AA-





