
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud / Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 19 Dis (MalaysiaAktif) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Sabah menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu rakan strategik daripada pelbagai agensi dalam usaha memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan simpanan persaraan dalam kalangan majikan.
Penghargaan tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Anugerah Majikan Terbaik 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.

Wakil Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Puan Siti Mariam Aziz Rashid menerima sijil penghargaan daripada Pengarah KWSP Wilayah Sabah pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Anugerah Majikan Terbaik 2025 di Kota Kinabalu.
Pengarah KWSP Wilayah Sabah, Mohd. Fadil Sarehan berkata, majlis berkenaan menghimpunkan rakan strategik KWSP yang terdiri daripada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak majikan.
“Objektif penganjuran program ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua agensi yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan perancangan KWSP, khususnya dalam meningkatkan kesedaran ahli-ahli KWSP di Sabah terhadap kepentingan simpanan bagi tujuan persaraan.
“Alhamdulillah, sepanjang tahun 2025 banyak program telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan Persekutuan, negeri serta pihak NGO,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini, Khamis.
Mengulas isu majikan yang berdepan masalah pembayaran caruman, Mohd. Fadil menasihatkan agar mereka tampil berjumpa dengan pihak KWSP bagi mendapatkan khidmat bantuan dan penyelesaian.
“Nasihat KWSP kepada majikan-majikan yang menghadapi kesukaran berkaitan pembayaran caruman atau urusan lain, datanglah berjumpa dengan kami kerana KWSP sentiasa bersedia membantu mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kegagalan majikan menyelesaikan isu caruman akan memberi kesan langsung terhadap simpanan persaraan pekerja.

Mohd. Fadil menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima Anugerah Majikan Terbaik 2025 pada majlis berkenaan.
“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, ia akan menjejaskan simpanan ahli atau pekerja untuk persaraan mereka kelak.
“KWSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal mematuhi kewajipan caruman. Terdapat dua bentuk tindakan, antaranya pendakwaan jenayah yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau hukuman penjara,” katanya.
Untuk rekod, pada majlis tersebut KWSP turut menyampaikan Anugerah Majikan Terbaik 2025, yang dipilih berdasarkan tahap pematuhan majikan terhadap pengurusan caruman, kebajikan pekerja, rekod pembayaran tanpa tunggakan serta bebas daripada sebarang isu dengan KWSP.
Sebanyak tujuh majikan menerima anugerah mengikut kategori saiz tenaga kerja, bermula daripada 25 orang pekerja sehingga melebihi 1,500 orang pekerja.
-RJ-





