
Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
KUCHING, 1 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 12 ahli Lembaga Kebajikan Masjid Bandar Sri Aman bersama Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bersepadu (PTPIB) Bukit Penyauk telah mengadakan lawatan penanda aras ke Tanah Perkuburan Islam Bako (TPIB), di sini semalam bagi meneliti model pengurusan perkuburan Islam yang diiktiraf sebagai antara paling sistematik di Sarawak.
Lawatan tersebut diketuai Pengerusi Lembaga Kebajikan Masjid Bandar Sri Aman, Datu Abang Shamsudin Abg Seruji dengan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu mengenal pasti amalan terbaik tadbir urus, mendapatkan maklumat struktur organisasi serta operasi harian, selain membentuk jaringan kerjasama strategik antara PTPIB dan TPIB.

Abang Shamsudin Menandatangani Buku Lawatan.
Delegasi turut menghadiri taklimat oleh Pengerusi Lembaga Amanah Masjid Kampung Bako merangkap penaung PTPIB, Datu Chaity Bolhassan yang menerangkan sejarah penubuhan, pentadbiran, sistem operasi, penggunaan teknologi serta hala tuju pembangunan PTPIB.
Peserta seterusnya dibawa meninjau kemudahan seperti bilik jenazah, surau, laluan logistik, sistem saliran, kawasan pengebumian serta infrastruktur penyelenggaraan bagi menilai standard operasi secara langsung.
Sesi perkongsian turut merangkumi aspek pengurusan data jenazah, penyelenggaraan berkala, prosedur pengebumian dan peranan komuniti dalam memastikan kelestarian pengurusan tapak perkuburan.

Penyerahan plak oleh Abang Shamsudin Abang Seruji kepada Chaity Bolhassan sebagai simbol penghargaan dan jalinan kerjasama.
“Pengetahuan yang diperoleh sangat bernilai dan akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pengoperasian Tanah Perkuburan Islam Bersepadu Bukit Penyauk demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Sri Aman,” kata Abang Shamsudin yang turut merakamkan penghargaan atas kesediaan PTPIB berkongsi pengalaman dan amalan terbaik.
-RJ-





