
Laporan/foto: Sharil Alias/Media MBNS (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 5 Dis (MalaysiAktif) – Pengamal media adalah rakan strategik penting dalam memastikan maklumat rasmi Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dapat disampaikan secara tepat dan berkesan kepada masyarakat, kata Datuk Bandar MBS Datuk Ir. Ts. Masri Baharuddin.

Ir. Ts. Masri Baharuddin berharap kerjasama bersama pihak media dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat
Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat antara MBS dan media perlu diteruskan bagi menyokong agenda pembangunan bandar raya yang lebih progresif dan inklusif.
“Media adalah jambatan antara MBS dan rakyat. Sokongan serta kerjasama yang diberikan selama ini amat kami hargai kerana ia membantu memastikan setiap dasar, inisiatif dan pembangunan bandar raya dapat difahami dengan jelas oleh warga Seremban.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diperkukuhkan lagi, selari dengan usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Negeri Sembilan sebagai penghargaan kepada rakan media yang memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat rasmi MBS kepada masyarakat, di sebuah hotel di sini kelmarin.

Supian Musa menerima Sijil Penghargaan daripada Ir. Ts. Masri Baharuddin.
Majlis tersebut menjadi platform merapatkan hubungan dua hala antara MBS dan pengamal media yang sentiasa komited dalam memastikan penyampaian informasi yang tepat, telus dan pantas kepada komuniti di daerah berkenaan.
Turut hadir Ahli-Ahli Majlis MBS, Setiausaha MBS Ir. Ts. Br. Mohd Kamal Mohd Yusof, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sembilan Supian Musa dan wakil-wakil media.
-RI





