
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 5 Dis (MalaysiaAktif) – Pemilik kenderaan yang menggunakan minyak diesel diseru untuk menyelenggara kenderaan mengikut jadual bagi mengelakkan pengeluaran asap hitam tebal yang mampu mengancam kelestarian alam.

Zulfadzli semasa ditemu bual media.
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan Zulfadzli Zakaria, pihaknya menyeru kepada pemilik kenderaan untuk berbuat demikian bagi mengelakkan berlaku pencemaran alam dan berdepan tindakan undang-undang.
“JAS akan sentiasa melakukan pemeriksaan dari masa ke masa dan jika didapati kenderaan diesel melepaskan asap hitam tebal melepasi piawaian kompaun dan Notis Arahan Penyelenggaraan akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan. Jika asap hitam tebal terlalu tinggi melepasi piawaian, perintah larangan turut dikeluarkan kepada kenderaan hingga penyelenggaraan dibuat serta mematuhi pemeriksaan susulan.

Operasi Bersepadu JAS Labuan mendapat kerjasama jitu agensi-agensi lain.
“Asap hitam tebal yang dilepaskan kenderaan mampu mengancam kelestarian alam, menyumbang kepada penipisan lapisan ozon sekaligus menyumbang kepada perubahan iklim dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Operasi Bersepadu sempena Minggu Operasi Gerak Kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan bersempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2025, di sini semalam.
Beliau berkata JAS Labuan telah menjalankan sebanyak enam operasi bersepadu dan mengeluarkan 15 kompaun dan 45 Notis Arahan Penyelenggaraan kepada pemilik kenderaan pada tahun ini.
Pada operasi yang turut disertai Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), itu sebanyak 70 buah kenderaan diperiksa dan lapan Notis Arahan telah dikeluarkan.
-RI





