
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 19 Dis (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihati orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah keluar dari kediaman masing-masing susulan situasi banjir di negeri itu ketika ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil peluang beramah mesra dengan mangsa banjir.
“Jika pihak berkuasa kata pindah, segera berpindah. Kalau tidak dibenarkan balik, jangan balik kerana apa yang penting adalah keselamatan nyawa,” katanya kepada media selepas menziarahi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Jaya Gading, di sini semalam.
Wan Rosdy turut meninjau keadaan semasa bagi memastikan mangsa banjir berhati-hati dengan kehadiran haiwan liar dan buaya.
“Saya nasihatkan orang ramai terutama yang tinggal berhampiran sungai supaya menjaga keselamatan,” katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Jaya Gading.
Dalam lawatan berkenaan, Wan Rosdy turut beramah mesra dan bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan keperluan harian bagi meringankan beban penduduk yang terkesan akibat bencana tersebut.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sabariah Saidan, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Nazri Abu Bakar, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Dr. Saiful Azlan Sharif dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pahang Kol. (PA) Che Adam A Rahman.
-RI





