Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Polis Nasihat Elakkan Melalui Jalan Dinaiki Air

By 19 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 19 Dis (MalaysiaAktif) – Polis menasihati orang ramai agar tidak melalui jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas.

Mangsa banjir di Pahang kian meningkat.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah melalui satu kenyataan media semalam berkata penutupan jalan dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan, kerosakan kenderaan serta ancaman keselamatan nyawa.

“Orang ramai dinasihati agar tidak menggunakan jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas, khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai dan parit besar,” katanya.

Tambahnya, pihak polis akan terus melaksanakan kawalan lalu lintas, rondaan keselamatan, serta bantuan pemindahan di kawasan terjejas.

Polis Kuantan menasihati orang ramai agar tidak melalui jalan yang dinaiki air atas faktor keselamatan.

“Antara jalan yang terjejas di daerah Kuantan adalah Jalan Air Hitam, Jalan Kampung Pasir Kemudi, Jalan Kampung Bukit Bangkong, Jalan Kuantan-Pekan, Jalan hadapan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Jalan MCKIP -Kuantan Bypass dan Jalan Kuantan-Kemaman (Bukit Penggorak),” katanya.

Ashari turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan.

Setakat pukul 4 petang semalam, 78 PPS dibuka di Pahang melibatkan 10,740 mangsa.

-RI

Tinggalkan komen anda