
Laporan/foto: Maznah Ngah/Zaharudin Ismail
MARANG, 3 Dis (MalaysiaAktif) – Keperitan mangsa banjir di Taman Al Amin, Bukit Payong, di sini sedikit terubat apabila sekumpulan sukarelawan tampil manyantuni dan membantu menjalankan aktiviti berbentuk sukarela pasca bencana, semalam.
Pasukan khas terdiri daripada kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Terengganu bersama pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Wakaf Tapai turun padang sebaik sahaja air surut bagi membantu membersihkan kediaman dan kawasan sekitar.

Pasca banjir yang disertai oleh anggota JAPEN Terengganu dan pelajar IKBN turun padang dalam misi bantuan kepada mangsa banjir.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar IKBN, Muhd Alif Mikhail, memaklumkan bahawa inisiatif murni tersebut digerakkan Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar IKBN Noorul Husna A. Rashid sebagai tanggungjawab sosial.
“Program khidmat bakti seperti ini memperlihatkan bahawa meskipun bencana datang tanpa amaran, solidariti dan empati sesama manusia sentiasa menjadi kekuatan utama dalam membina kembali kehidupan yang terjejas.
“Misi bantuan ini merupakan peringkat pertama dan disertai oleh 15 orang pelajar. Ini pengalaman pertama kami melihat sendiri keadaan selepas banjir. Kami amat terkesan melihat kesedihan mangsa dan memahami betapa berat ujian yang mereka lalui,” katanya kepada Malaysia aktif, di sini semalam.

Nur Asikin Chik, berkata banjir kali ini dianggap paling buruk sejak beliau menetap di taman perumahan ini.
Penduduk yang terjejas Nur Asikin Chik, 45, yang juga kakitangan JAPEN Terengganu berkata banjir kali ini dianggap paling buruk sejak beliau menetap di taman perumahan tersebut lapan tahun lalu dengan paras air naik hingga semeter dalam tempoh yang singkat.
“Air naik begitu cepat pada awal pagi hingga kami penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda. Saya hanya sempat membawa kereta ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya.
Walaupun diuji dengan kehilangan dan kerosakan, bantuan yang hadir daripada pelbagai pihak termasuk para belia IKBN sedikit sebanyak meringankan beban penduduk.
Program khidmat bakti seperti ini menjadi bukti bahawa nilai kebersamaan dan keprihatinan sentiasa menjadi tunjang kekuatan terutama ketika mendepani bencana alam yang tidak dijangka.
-RI





