
Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani
REMBAU, 15 Dis (MalaysiaAktif) – Pendidikan awal yang berkualiti menjadi landasan penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, kreatif, berdaya saing serta mempunyai jati diri yang kukuh pada masa hadapan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Suhaimi Aini.
“Pendidikan awal merupakan asas yang sangat penting dalam membentuk sahsiah, jati diri dan potensi kanak-kanak. Program seperti Tabika (Taman Bimbingan Awal Kanak-Kanak) Perpaduan bukan sahaja memberi penekanan kepada pembelajaran asas, malah turut memupuk nilai perpaduan, disiplin serta kemahiran sosial dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Hari Konvokesyen Tabika Perpaduan Daerah Rembau Tahun 2025 di Dewan Sri Rembau, di sini semalam.
Seramai 186 orang pelajar diraikan melibatkan sembilan buah Tabika Perpaduan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong dan sebuah Tabika Perpaduan di DUN Kota.

Penyampaian sijil kepada pelajar Tabika Perpaduan Daerah Rembau.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Marlina Termudi.
Suhaimi turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar Tabika Perpaduan yang berjaya menamatkan pengajian serta menzahirkan penghargaan kepada pendidik, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan usaha berterusan Tabika Perpaduan dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di daerah ini.
“Kerjasama erat antara pendidik dan ibu bapa turut dikenal pasti sebagai faktor penting dalam memastikan perkembangan menyeluruh kanak-kanak,” katanya.
-RI





