
Laporan/ foto: Senaying Ahud (Hulu Perak)
GERIK, 15 Dis (MalaysiaAktif) – Karnival Eksplorasi Kemarian Bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor yang diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Kemar, di sini kelmarin berjaya menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana meriah dan semangat perpaduan.

Antara aktiviti yang menarik adalah pertandingan catwalk melibatkan penduduk setempat
Majlis perasmian karnival disempurnakan ADUN Temengor Dato’ Salbiah Mohamed yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival antaranya termasuk pertandingan bola sepak, futsal wanita, lari dalam guni, karaoke, catwalk, menyumpit, senam tari, sepakan penalti, gerai jualan serta turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan.
Selain aktiviti riadah, pemeriksaan kesihatan percuma turut disediakan oleh Hospital Orang Asli Gombak dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak.
Salbiah dalam ucapannya berkata penganjuran karnival itu mampu mendekatkan institusi sekolah dengan komuniti setempat dan secara tidak langsung membuka ruang mencungkil potensi serta bakat anak-anak sejak usia muda.

Mohammad Fazli Sudin ketika ditemui MalaysiaAktif berpendapat program ini memberi manfaat khususnya kepada golongan muda setempat
“Karnival ini bukan sahaja mendekatkan sekolah dengan komuniti, malah menjadi platform untuk mencungkil potensi dan bakat anak-anak kita.
“Kita juga perlu memastikan semua pihak memberi tumpuan kepada pendidikan kerana pendidikan sahaja yang mampu mengubah kehidupan kita ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau menambah penggabungan elemen pendidikan, kesihatan dan warisan tempatan dalam satu program memberi impak positif kepada pembangunan keluarga dan masyarakat setempat.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Mohammad Fazli Sudin, 24, menyifatkan karnival tersebut sebagai inisiatif yang sangat bermanfaat khususnya kepada generasi muda.
“Program ini bukan setakat mengeratkan hubungan komuniti setempat, malah turut memberi pengalaman baharu kepada generasi muda untuk mencungkil bakat yang ada dalam diri mereka,” katanya.
Karnival ini secara tidak langsung menjadi medan memperkukuh kerjasama antara komuniti, pihak sekolah dan agensi berkaitan dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu, sihat serta berdaya saing.
-AA-





