
Laporan/foto: Syafiq Jamloh/Khairul Faizal (Maran)
MARAN, 6 Dis (MalaysiaAktif) – Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah dikenali sebagai Geng Bhai dipercayai terlibat dalam kegiatan samun kargo dan curi kenderaan selepas satu operasi khas Op Kargo pada hujung bulan lepas.

Lori yang telah disamun.
Timbalan Ketua Polis Pahang DCP Datuk Azry Akmar Datuk Ayob berkata seramai enam lelaki berusia lingkungan 24 hingga 56 tahun ditahan menerusi serbuan di sekitar Senawang, Negeri Sembilan, Klang (Selangor), dan Bentong (Pahang) antara 21 hingga 29 November lepas.
Beliau berkata risikan pihaknya mendapati telah berlaku dua kes samun melibatkan lori treler bermuatan besi dan kabel PVC milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta lima kes kecurian lori, forklift dan kenderaan di beberapa daerah di Pahang dengan keseluruhan nilai kerugian sebanyak RM659,000.
“Ekoran kejadian tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang telah melancarkan Operasi Khas Op Kargo dan berjaya mengenal pasti kumpulan suspek yang aktif melakukan jenayah berkenaan sehingga tangkapan berjaya dilakukan.
“Hasil semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah,” katanya kepada media, di sini semalam.

Antara kenderaan yang dirampas.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan hasil jenayah antaranya dua buah lori treler, sebuah forklift, sebuah lori tunda, dua buah kereta (Perodua Myvi dan Proton Pesona), 10 drum kabel PVC TNB, tiga alat pemotong besi dan kabel.
“Kumpulan ini menggunakan modus operandi menyerang lori treler yang berhenti di tepi jalan, mengikat pemandu sebelum melarikan diri bersama kenderaan dan barangan muatan. Sebahagian barangan samun disimpan di sebuah stor sewaan khas di Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.
Azry Akmar berkata siasatan lanjut mendapati ketua kumpulan iaitu suspek berumur 56 tahun pernah aktif dalam kes-kes jenayah kargo sebelum ini dan sedang menjalani hukuman parol di Bentong.
-RI





