Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorMA

Majlis Tilawah Al-Quran Daerah Kulai Semarakkan Pembudayaan Al-Quran

By 6 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Aidil Md. Lazim (Kulai)

KULAI, 6 Dis (MalaysiaAktif) – Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kulai 1447H/2026M di Masjid Taman Sri Pulai menghimpunkan para qari dan qariah dalam usaha berterusan memartabatkan syiar Al-Quran di daerah ini.

Ucapan perasmian oleh Pegawai Daerah Kulai.

Pegawai Daerah Kulai Fizwan Mohd Rashidi berkata penganjuran tilawah yang telah mencapai usia 70 tahun di negeri Johor jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap al-Quran.

“Al-Quran telah dipelajari, dibaca, dihayati dan diamalkan lebih daripada setengah abad. Ia bukan sekadar diperdengarkan dengan tarannum yang merdu, tetapi turut dititikberatkan aspek tajwid, fasoha serta seni suara yang menjadi tunjang bacaan Al-Quran,” katanya, di sini kelmarin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jemaah hakim, urus setia, agensi kerajaan serta semua pihak yang menyumbang dalam menjayakan penganjuran kali ini.

“Segala tenaga, idea dan sumbangan kewangan amat dihargai. Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran atas setiap usaha murni ini,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau menyatakan harapan agar daerah Kulai terus melahirkan lebih ramai qari dan qariah muda yang bukan sahaja mahir dalam seni bacaan berlagu, tetapi turut memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

Johan Qariah Khairunnabihah Ahmad Zaid.

“Diharapkan usaha berterusan ini dapat memperkukuh budaya kecintaan al-Quran dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi baharu, seterusnya menjadikan Kulai daerah yang subur dengan aktiviti keagamaan dan pembelajaran al-Quran,” ujarnya.

Menurutnya, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kulai bagi tahun 2025 telah diadakan sebanyak dua kali bagi memilih qari dan qariah terbaik yang layak mewakili daerah ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor, yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 29 Januari 2026 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat.

Majlis turut diserikan kehadiran Kadi Daerah Kulai Mohamad Hamizan Sayuti, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar Pandak Ahmad, Pentadbir Tanah Daerah Kulai Afzan Azhari serta Pengerusi Masjid Taman Sri Pulai Kamarudin Hamat.

-RI

Tinggalkan komen anda