
Laporan/ foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/ PWS
SHAH ALAM, 31 Dis (MalaysiaAktif) – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melakar sejarah tersendiri apabila melaksanakan projek pembangunan hartanah wakaf berimpak tinggi melalui pembinaan sebuah stesen minyak lengkap dengan restoran makanan segera dua tingkat.
Projek berkenaan dibangunkan di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terletak di Lot PT 69581, HSM 28476, Mukim Dengkil, Daerah Sepang.

PWS mencipta sejarah apabila membangunkan projek stesen minyak di atas tanah wakaf milik MAIS
Pembangunan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama PETRON Malaysia yang beroperasi di Sungai Merab serta menggunakan konsep Dealer-Owned Dealer-Operated (DODO) bagi memastikan pengurusan operasi mampan dan pulangan optimum kepada wakaf.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar, berkata projek itu mula beroperasi pada 29 Disember 2025 dan dijangka menjadi aset wakaf strategik berpendapatan berterusan.
Menurutnya, projek tersebut bukan sahaja menjana hasil jangka panjang malah menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat di sekitar kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan projek itu membuktikan komitmen berterusan PWS dalam memperkasa pembangunan tanah-tanah wakaf di Selangor secara bersepadu dan progresif.
“Secara keseluruhan, projek ini melibatkan kos kira-kira RM9 juta merangkumi pembinaan bangunan, infrastruktur, perkhidmatan perunding dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, pembiayaan projek tersebut dilaksanakan sepenuhnya menerusi dana wakaf tunai yang disumbangkan oleh orang ramai.
Anuar memaklumkan bahawa sebanyak 50 peratus manfaat hasil projek akan disalurkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar selaras dengan niat asal pewakaf tanah berkenaan.
Beliau berkata, projek itu merupakan yang pertama di Selangor dan antara terawal di Malaysia dibangunkan di atas tanah wakaf.
Katanya, pengurusan serta perniagaan stesen minyak tersebut dikendalikan oleh WS Energy 1 Sdn Bhd (WSE1), anak syarikat milik penuh PWS yang ditubuhkan khusus bagi mengurus projek wakaf berimpak tinggi.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta serta masyarakat yang bersama-sama menjayakan projek berkenaan.
“PWS menyeru masyarakat khususnya di Selangor agar terus melazimi ibadah wakaf yang merupakan amalan dituntut dan menjanjikan ganjaran pahala berterusan,” ujarnya.
-AA-





