
Laporan/Foto: Eleanor Bedai Anak Tinggom
KANOWIT, 08 Dis (MalaysiaAktif) – Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Gantian 18 bilik darjah serta kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit pada Sabtu telah disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi.
Projek yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) Sarawak di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 5 November 2025, mengikut jadual yang ditetapkan.
Projek berkenaan bermula pada 14 Januari 2023 dengan kos keseluruhan RM49.9 juta, dan berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual asal. Skop pembinaan merangkumi Blok Pentadbiran, Blok Akademik dengan 18 bilik darjah, surau, bengkel RBT, makmal komputer, makmal sains integrasi, makmal kimia serta dua bilik resos. Turut dibina ialah bilik pam dan bomba, bilik elektrik utama, dua gelanggang permainan, pondok menunggu, tempat letak basikal dan pondok pengawal.

Para tetamu kehormat merakam detik bersejarah penyerahan kemudahan baharu SMK Kanowit yang bakal memberi manfaat besar kepada warga sekolah.
Dalam ucapannya, Alexander menegaskan bahawa projek ini memberi impak besar kepada para pelajar dan warga sekolah selaras dengan usaha kerajaan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, berkualiti dan selamat demi kecemerlangan akademik dan kokurikulum.
Beliau berharap kemudahan baharu itu dimanfaatkan sepenuhnya serta dijaga dengan baik. Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia juga akan memantau kontraktor sepanjang tempoh tanggungan kecacatan (DLP) bagi memastikan segala kerja dipatuhi mengikut peraturan.
Sementara itu, Tuan Haji Khairudin, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan KPM, merakamkan penghargaan kepada KKR sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”, seiring aspirasi Kerajaan MADANI dalam membangunkan sekolah daif di kawasan luar bandar.
Hadir sama, Dato Ir. Jasmi Wahab, Pengarah Pembinaan PPK2, Dato Dr. Balamurugan A/L A. Gopal, Pengarah Cawangan Kerja Raya Pendidikan, Anyi Jana, ADUN N.49 Ngemah, Allan Siden Gramong, ADUN N.50 Machan serta para tetamu jemputan.
-RJ-





