Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

UNIMEL Perkenal Inisiatif Mobiliti Hijau ke Arah Kampus Lestari

By 19 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: M Zakry Chan/ Perpadanan Teknologi Hijau Melaka

KUALA LINGGI, 19 Dis (MalaysiaAktif) – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dengan kerjasama strategik Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan Superlux Auto Sdn. Bhd. telah melancarkan Inisiatif E-Bike Kampus UNIMEL menerusi Majlis Peluncuran Inisiatif Teknologi Hijau Negeri Melaka: Mikromobiliti Kampus sempena Karnival UNIMEL 2025 di sini, semalam.

Sidang Media Majlis Peluncuran Inisiatif Teknologi Hijau Negeri Melaka: Mikromobiliti Kampus

Timbalan EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata Melaka terus mengorak langkah sebagai antara negeri peneraju dalam memperkasa agenda mobiliti elektrik negara bermula dengan pengenalan bas elektrik sebagai pengangkutan awam hijau.

Katanya usaha tersebut diperluaskan melalui pembangunan ekosistem mikromobiliti di tapak-tapak pelancongan bagi menyokong kelestarian bandar dan kesejahteraan rakyat, termasuk pelaksanaan program penggunaan motosikal elektrik menerusi inisiatif pembelian yang diselaraskan oleh PTHM untuk manfaat orang ramai.

Sebagai fasa permulaan sebanyak 20 unit motosikal elektrik akan beroperasi di sekitar Kolej Kediaman dan Dataran Siswa UNIMEL

“Ekoran sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai, PTHM berhasrat untuk meluaskan pelaksanaan menerusi perkhidmatan sewaan motosikal elektrik ke universiti awam dan swasta di seluruh negeri Melaka sebagai satu inisiatif teknologi hijau mikromobiliti,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa PTHM melalui kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi dan rakan industri akan bertindak sebagai penyelaras dasar serta peneraju agenda teknologi hijau.

“Manakala pihak kampus akan menyediakan lokasi operasi, sokongan infrastruktur dan akses dengan rakan pengendali mengurus penyediaan motosikal, sistem sewaan serta penyelenggaraan.

“Harapan saya agar inisiatif mikromobiliti ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan elemen teknologi hijau yang lebih menyeluruh merangkumi tenaga lestari, pengurusan sisa dan amalan rendah karbon demi membentuk kampus yang hijau, berdaya tahan dan lestari untuk generasi akan datang seiring dengan misi mencapai misi Towards Sustainability Campus,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda