
Laporan/ foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 31 Dis (MalaysiaAktif) – Wayang pacak yang pernah menjadi hiburan rakyat suatu ketika dahulu kini kembali menghidupkan suasana dengan mengimbau nostalgia dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut salah seorang penonton, Sukri Ramli, 51, wayang pacak pernah menjadi medium hiburan utama yang bukan sahaja menceriakan suasana malam, malah mengeratkan hubungan kejiranan dalam suasana santai dan mesra.

Aktiviti ini juga menjadi medium untuk mengisi masa lapang bersama ahli keluarga terutama di musim cuti sekolah
Katanya, generasi terdahulu mempunyai pelbagai kenangan manis ketika menonton wayang pacak, justeru penganjuran semula aktiviti tersebut memberi peluang kepada generasi muda merasai sendiri bentuk hiburan tradisional yang pernah popular suatu ketika dahulu.
“Hari ini, saya membawa anak-anak untuk memberi mereka pengalaman baharu tentang cara masyarakat dahulu berhibur. Penduduk berkumpul beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati tayangan filem secara terbuka,” katanya.
Tambah beliau, suasana tersebut mencerminkan nilai kebersamaan dan semangat muafakat yang kini semakin jarang disaksikan dalam era digital.
“Usaha menghidupkan semula wayang pacak ini dilihat sebagai langkah positif dalam memelihara warisan budaya serta menyemai semangat perpaduan komuniti, sejajar dengan usaha memperkukuh hubungan sosial dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya ketika ditemui di D’Arena Pengkalan Hulu, semalam.
-AA-





