
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 14 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 46,382 orang murid di 104 buah sekolah di negeri Perlis bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 bermula minggu ini.
Sebanyak RM6,957,300 telah diperuntukkan kepada semua murid warganegara dari Darjah Satu hingga Tingkatan Enam.

Antara pelajar yang gembira menerima BAP 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan Gan Ay Lin, berkata inisiatif ini adalah usaha kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menjaga kebajikan murid di sekolah melalui penyaluran BAP.
“Bantuan ini bukan sekadar sokongan dari segi material yang turut memberi impak kepada ibu bapa dan masyarakat tetapi juga satu bentuk manifestasi kerajaan MADANI kepada pembangunan sektor pendidikan yang merupakan asas pembentukan generasi MADANI masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 bagi Negeri Perlis yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khoon Aik, Kangar, di sini.
Tambah beliau, bantuan itu amat bermakna khususnya bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun.

BAP diserahkan kepada waris pelajar SJKC Khoon Aik.
“Saya menyeru ibu bapa atau penjaga dan murid yang menerima manfaat BAP 2026, dapat meningkatkan motivasi para pelajar untuk membina kecemerlangan supaya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Ariffin berkata pengagihan BAP di semua sekolah di negeri itu akan selesai dalam tempoh 30 hari.
“Inisiatif ini memberi manfaat kepada 24,683 orang murid sekolah rendah dan 21,699 murid sekolah menengah,” jelasnya.
Untuk rekod, Belanjawan 2026 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM794,250,000 kepada KPM bagi tujuan pengagihan BAP.
-RI





