Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

92 Peratus Aduan SISPAA Selesai, Kerajaan Perak Fokus Tangani Isu Berulang

By 23 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Saad (Perak)/Saarani Mohamad

IPOH, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Sebanyak 92 peratus daripada 19,000 aduan yang diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada tahun lalu berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Saarani ketika berucap di Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baru 2026 di Hotel Casuarina@Meru

Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata dapatan tersebut membuktikan sistem kerajaan negeri berfungsi dengan baik selain menunjukkan komitmen seluruh lapisan pentadbiran dalam menyelesaikan aduan rakyat.

“Aduan dan isu yang berulang secara tidak langsung memberi isyarat jelas bahawa terdapat perkara yang perlu ditambah baik dalam sistem penyampaian perkhidmatan.

“Setiap aduan yang diterima harus diselesaikan berdasarkan data dan punca sebenar bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 di Hotel Casuarina@Meru, di sini semalam.

Hadirin yang terdiri daripada penjawat awam Negeri Perak dan persekutuan sedang mendengar ucapan daripada Menteri Besar Perak

Tambah Saarani, program turun padang seperti Program Turun Padang (TURPA) dan mesyuarat pemantauan aduan tidak seharusnya sekadar menjadi platform pelaporan semata-mata.

“Ia mestilah menjadi wake-up call untuk membetulkan sistem dan mengurangkan aduan rakyat yang berulang kali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menetapkan beberapa keutamaan tindakan termasuk memendekkan serta menyeragamkan tempoh masa respons terhadap aduan yang diterima.

“Fokus utama kita adalah menyelesaikan punca masalah serta memperkukuh akauntabiliti jabatan dan pegawai dalam menguruskan setiap aduan.

“Pendekatan kerajaan juga perlu berteraskan empati dan profesionalisme dengan pemantauan serta pembetulan berasaskan data,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda