
Laporan/foto: Akmar Zulkifli/Sh.Nurul (Pahang)
KUANTAN, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Lebih banyak peluang pekerjaan tersedia dan peluasan pasaran produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan pembukaan pasar raya AEON pertama di Kuantan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Usahawan dan Koperasi Negeri Pahang Dato’ Amizar Abu Adam berkata peluang pekerjaan yang ada dimanfaat sepenuhnya oleh warga negeri Pahang khususnya penduduk sekitar Kuantan.
“Saya dapat melihat sendiri ramai pekerja AEON berasal dari sini. Pembukaan AEON ini juga merupakan inisiatif dalam membantu kerajaan negeri mengurangkan kadar pengangguran di negeri Pahang,” katanya kepada Malaysia Aktif selepas merasmikan pembukaan pasar raya itu, di sini pada Khamis.

Amizar meluangkan masa meninjau aktiviti perniagaan di AEON Kuantan.
Selain itu, beliau berkata produk PKS akan turut diperluas pasarannya di AEON berkenaan sekiranya menepati kriteria dan syarat ditetapkan.
“Perkara ini masih lagi dalam perbincangan lanjut. Turut dibincangkan adalah potensi produk-produk PKS ini untuk di eksport ke pasaran Jepun selain pasaran Pahang serta seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan AEON Tsugutoshi Seko berkata AEON Kuantan ditempatkan secara strategik sebagai destinasi beli-belah utama khususnya bagi penduduk Kuantan dan kawasan sekitarnya.
Tambahnya, dengan operasi sedia ada AEON Mall Kota Bharu di Kelantan, pembukaan AEON Kuantan memperluaskan rangkaian serantau AEON di Pantai Timur.
“AEON juga yakin dengan prestasi memberangsangkan East Coast Mall, disokong lokasinya yang strategik di pusat bandar Kuantan serta aliran pengunjung yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan media.
AEON Kuantan menawarkan pelbagai pilihan barangan runcit segar dan berkualiti termasuk keperluan isi rumah, barangan basah dan makanan laut.
-AA-





