
Laporan/foto: Abdul Hadi /Naif Rajamu/Asrul Affandi (Semporna)
SEMPORNA, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) bukan sekadar acara keagamaan, malah berperanan sebagai platform penting dalam menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat khususnya belia di daerah ini.
Pegawai Daerah Semporna Mas Syazwan Masood berkata pembangunan pesat yang dicapai negeri perlu bergerak seiring dengan pembentukan rohani dan penghayatan nilai murni bagi memastikan kemajuan yang seimbang serta mampan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Dakwah Daerah Semporna berkata penganjuran MTQ selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam membentuk insan yang progresif dari segenap aspek kehidupan.

Mas Syazwan Masood menyempurnakan perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Semporna bagi menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dan memperkukuh sahsiah masyarakat serta belia, semalam.
“Penekanan terhadap penghayatan ajaran Al-Quran merupakan asas penting dalam membentuk insan berakhlak, berilmu dan berdaya saing demi kesejahteraan negeri yang maju dari sudut ekonomi serta makmur dari segi sahsiah,” katanya pada Majlis Perasmian MTQ Peringkat Daerah Semporna 1447 Hijrah/2026 Masihi, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, aspirasi Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan sebaliknya cita-cita bersama yang memerlukan masyarakat berakhlak serta berpandukan nilai agama yang kukuh.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola MTQ Daerah Semporna Abdul Azis Bool berkata penganjuran program tersebut turut bertujuan memperkukuh jati diri peserta dan masyarakat melalui penghayatan nilai murni yang terkandung dalam Al-Quran.

Abdul Azis menekankan peranan MTQ dalam membina jati diri, nilai murni dan ukhuwah Islamiah masyarakat setempat.
“Program seumpama ini juga berperanan menyemai semangat ukhuwah Islamiah dalam kalangan peserta dan masyarakat setempat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam di daerah ini,” katanya.
-RJ-





