Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

BAP 2026: “Anak Saya Boleh Beli Buku Latihan SPM”

By 15 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Sabak Bernam)

SUNGAI BESAR, 15 Jan (MalaysiaAktif) – “Syukur alhamdulilah, sekurang-kurangnya beban di bahu saya terasa ringan sedikit hari ini,” itulah luahan rata-rata ibu bapa yang hadir pada sesi pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, di sini hari ini.

Ana bersama anaknya bersyukur menerima bantuan BAP secara tunai di SMK Sungai Besar

Bantuan tunai RM150 bagi setiap pelajar itu ibarat talian hayat bagi keluarga berpendapatan rendah dan sederhana khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup serta perbelanjaan awal sesi persekolahan.

Seorang suri rumah, Ana Fauzitularma Kamarudin, 39, berkata pemberian BAP amat membantu dirinya yang mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan sepertinya.

“Kos pakaian sekolah sekarang meningkat dan sebagai suri rumah saya sangat menghargai bantuan ini.

“Bukan sahaja BAP, malah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang saya terima juga benar-benar membantu kelangsungan hidup kami,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Abdullah mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang diberikan termasuk BAP, STR dan SARA

Bagi Abdullah Awang, 60, seorang petani, kudrat tuanya tidak menghalang beliau untuk hadir bagi memastikan keperluan persekolahan anaknya yang kini di tingkatan empat dipenuhi.

“Pendapatan sebagai petani tidak menentu. Kadang ada, kadang kurang. Terima kasih banyak kepada kerajaan kerana terus menyalurkan BAP, STR, dan SARA,” katanya.

Sementara itu, sinar kegembiraan turut terpancar pada wajah Jamaliah Jamaludin, 53, yang menyifatkan bantuan BAP sebagai pelaburan penting untuk masa depan anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Duit BAP ini saya akan gunakan khusus untuk beli buku latihan SPM, saya mahu anak saya belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan yang cemerlang,” katanya.

Selangor mencatatkan seramai 943,975 murid daripada 944 buah menerima manfaat BAP bagi tahun ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda